Wednesday, February 24, 2010

6 SOALAN MAUT DARIPADA IMAM AL-GHAZALI…

1. Imam Ghazali: Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?


Murid 1: Orang tua
Murid 2: Guru
Murid 3: Teman
Murid 4: Kaum kerabat


Imam Ghazali: Semua jawapan itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan kita ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan mati

“Tiap-tiap Yang bernyawa akan merasai mati, dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. ketika itu sesiapa Yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka Sesungguhnya ia telah berjaya. dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi Segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang Yang terpedaya”

(Surah Ali-Imran :185)


2. Imam Ghazali: Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?


Murid 1: Negara Cina
Murid 2: Bulan
Murid 3: Matahari
Murid 4: Bintang-bintang


Imam Ghazali: Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, tetap kita tidak akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang sesuai dengan ajaran Agama.


3. Imam Ghazali: Apa yang paling besar didunia ini ?


Murid 1: Gunung
Murid 2: Matahari
Murid 3: Bumi


Imam Ghazali: Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA NAFSU

“Dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia Yang mempunyai hati (Tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan Yang mempunyai mata (Tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan Yang mempunyai telinga (Tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang Yang lalai”

(Surah Al-A’raf: 179)

Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka.


4. IMAM GHAZALI : Apa yang paling berat didunia?


Murid 1: Baja
Murid 2: Besi
Murid 3: Gajah


Imam Ghazali: Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah MEMEGANG AMANAH

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan Yang ada padanya) sanggup memikulnya. (ingatlah) Sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman dan suka pula membuat perkara-perkara Yang tidak patut dikerjakan”

(Surah Al-Azab : 72 )


Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung, dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi khalifah pemimpin) di dunia ini. Tetapi manusia dengan sombongnya berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.

5. Imam Ghazali: Apa yang paling ringan di dunia ini ?


Murid 1: Kapas
Murid 2: Angin
Murid 3: Debu
Murid 4: Daun-daun


Imam Ghazali: Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan dunia, kita tinggalkan solat



6. Imam Ghazali: Apa yang paling tajam sekali di dunia ini?


Murid-muridnya dengan serentak menjawab : Pedang


Imam Ghazali: Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah LIDAH MANUSIA. Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri

Tuesday, November 24, 2009

KELEBIHAN BULAN ZULHIJJAH & PUASA HARI ARAFAH

Bulan Zulhijjah merupakan bulan dimana umat islam disyariatkan untuk mengerjakan ibadah haji. Kelebihan 10 hari pertama Zulhijjah tidak banyak dibicarakan sepertima mana 10 hari terkhir Ramadhan, sedangkan kelebihan dan kemulian 10 hari Zulhijjah dan Hari Arafah telah digambarkan dalam Al-Quran dan Hadith. Mari kita fahami akan kelebihan bulan Zulhijjah dan berusaha untuk beramal dalam 10 hari pertama ini, supaya kita mendapat balasan syurga daripada Allah

Firman Allah dalam surah Al-Buruj, ayat 1-3

al-fajr2

“Demi fajar, dan malam yang sepuluh, dan yang genap dan yang ganjil”

Ibnu kathir berpandangan bahawa malam yang sepuluh itu ialah sepuluh malam pertama di bulan zulhijjah, beliau mengambil pandangan daripada Ibn Abbas, Ibnu Zubair, Mujahid dan selainnya. Manakala yang ganjil itu ialah hari arafah.

Imam al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda:

hadith-11

“Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari ini – iaitu 10 hari Zulhijjah. Para sahabat baginda bertanya, ‘Tidak juga Jihad pada jalan Allah (mengatasi kelebihan Hari-hari tersebut)? Ujar Baginda, Tidak juga Jihad di jalan Allah kecuali seorang yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun (kerana habis disumbangkan untuk memenangkan agama Allah).”

Imam Ahmad r.a. dari Ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w bersabda,

“Tiada suatu haripun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari-hari 10 Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah), takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)

Ibnu Hibban di dalam kitab Sahihnya meriwayatkan dari Jabir r.a. bahawa baginda s.a.w bersabda,

hadith-22

“Seutama-utama hari adalah hari Arafah”

Manakala kelebihan hari Arafah (9 Zulhijjah) pula disebut oleh Rasulullah S.A.W ketika menafsirkan ayat ke-3 dari surah Al-Buruj

al-buruj1

“Yang menyaksikan ialah hari arafah dan yang disaksikan ialah hari kiamat ” (Hadith riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Didalam hadith lain pula, Sabda Baginda SAW lagi

hadith-31

“Tidak ada hari yang lebih banyak dibebaskan oleh Allah akan hambaNya daripada neraka lebih dari hari Arafah” (Riwayat Muslim)

JENIS AMALAN YANG DIANJURKAN

1. Menunaikan ibadah haji dan ‘umrah yang merupakan sebaik-baik amalan. Banyak hadith yang menyatakan kelebihan ibadah ini di antaranya :

Sabda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam : “Satu ‘umrah ke ‘umrah yang lain menghapuskan (dosa) yang dilakukan di antara keduanya dan haji yang baik (diterima) tiada baginya balasan melainkan Syurga”.

2. Berpuasa pada hari-hari tersebut atau sekadar kemampuannya – terutamanya pada hari ‘Arafah – . Tidak dinafikan bahawa puasa adalah di antara amalan yang terbaik dan ianya adalah pilihan Allah Ta’ala sendiri sebagaimana yang dinyatakan di dalam sebuah hadith qudsi :

“Puasa itu adalah bagiKu dan Akulah yang membalasinya, dia meninggalkan keinginan nafsunya, makanan dan minumannya semata-mata keranaKu”.

Dari Abu Sa’id al Khudri Radhia Allah ‘anhu berkata : ‘Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda : “Tiada seorangpun yang berpuasa pada satu hari di jalan Allah melainkan Allah menjauhkan dengan puasanya itu mukanya dari api neraka sejauh tujuh puluh tahun” (muttafaq ‘alaih)

Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Abi Qatadah Radhia Allah ‘anhu bahawa Rasulullah Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :

“Puasa pada hari ‘Arafah, saya mengharap Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang”.

3. Takbir (Allahu Akbar) dan berzikir padanya, firman Allah Ta’ala yang bermaksud :

“(Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum)”,

Hari-hari tersebut dijelaskan sebagai sepuluh hari di bulan Zulhijjah. Oleh kerana itulah para ‘Ulama menyarankan supaya diperbanyakkan berzikir pada hari-hari tersebut sebagaimana mafhum hadith Ibnu ‘Umar Radhia Allah ‘anhuma yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad Rahimahullah, di antaranya :

“Oleh kerana itu perbanyakkanlah padanya tahlil (La Ilaha Illa Allah) , takbir (Allah Akbar) dan tahmid (Alhamdu Lillah)”

Imam Al Bukhari Rahimahullah meriwayatkan bahawa Ibnu ‘Umar dan Abu Hurairah Radhia Allah ‘anhum kedua mereka pada hari-hari tersebut selalu keluar ke pasar bertakbir dan diikuti oleh orang ramai. Imam Ishaq Rahimahullah meriwayatkan bahawa para Fuqaha’ (ahli feqah) di kalangan Tabi’in (generasi selepas Sahabat Nabi) sentiasa membaca pada hari-hari itu “[Allahu Akbar, Allahu Akbar, La Ilaha Illa Allah, wa Allahu Akbar, Allahu Akbar, wa LillahI Hamdu]“. Adalah amat digalakkan supaya suara ditinggikan ketika bertakbir di pasar, rumah, jalan, masjid dan selainnya berdasarkan firman Allah Ta’ala yang bermaksud :

“(Dan supaya kamu membesarkan (bertakbir) Allah di atas ni’matNya menghidayat kamu)”.

Dibolehkan juga pada hari-hari tersebut berzikir dengan apa-apa zikir yang lain dan segala do’a yang baik.

4. Bertaubat dan meninggalkan segala ma’siat dan dosa, semoga dengan amalan baik dapat mencapai keampunan dan rahmat Allah. Ini kerana ma’siat adalah punca kepada jauh dan terhindarnya seorang hamba dari rahmat Allah manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Di dalam sebuah hadith yang diriwatkan oleh Abu Harairah Radhia Allah ‘anhu, Baginda Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :

“Sesungguhnya Allah mencemburui (tidak suka) apabila seseorang hambaNya melakukan perkara yang ditegahNya” (muttafaq ‘alaihi)

5. Memperbanyakkan amalan soleh (baik) terutama amalan-amalan sunat tambahan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, mebaca al Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan seumpamanya kerana kesemuanya akan digandakan pada hari-hari tersebut. Amalan yang dikerjakan ketika itu walaupun ia kecil tetapi ianya lebih disukai oleh Allah Ta’ala jika dibandingkan pada hari-hari lain, begitu juga amalan yang besar seperti berjihad di jalan Allah yang dikatogerikan di antara amalan yang terbaik, tidaklah mendapat kehebatan pahala pada hari-hari itu melainkan apabila kuda (kenderaan) yang ditungganginya terbunuh (binasa) dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).

6. Disyari’atkan bertakbir pada beberapa hari yang mulia itu pada waktu siang atau malam terutama selepas menunaikan fardu solat lima waktu yang dikerjakan secara berjamaah. Bagi mereka yang tidak menunaikan ‘ibadah haji, takbir bermula dari waktu subuh hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) dan bagi yang menunaikannya takbir bermula pada waktu Zohor hari raya haji (10 Zulhijjah), kesemuanya berakhir sehingga waktu ‘Asar pada hari ketiga belas (13) Zulhijjah.

7. Disyari’atkan amalan korban (menyembelih haiwan ternakan) pada hari raya haji dan hari-hari Tasyriq (11, 12 dan 13 Zulhijjah). Ia merupakan sunnah (amalan) Nabi Allah Ibrahim ‘Alaihis Solatu was Salam setelah Allah Ta’ala mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya Ismail ‘Alaihis Solatu was Salam tetapi ditebus ujian itu dengan digantikan seekor haiwan untuk disembelih.

8. Imam Muslim Rahimahullah meriwayatkan dari Ummu Salamah Radhia Allah ‘anha bahawa Nabi Salla Allah ‘alaihi wa sallam bersabda :

“Apabila kamu telah melihat anak bulan Zulhijjah dan ada di kalangan kamu yang ingin berkorban (sembelih haiwan ternakan), hendaklah dia menahan dirinya dari (memotong) rambut dan kukunya”

dan di dalam riwayat lain :

“Maka janganlah dia memotong rambut dan kukunya sehinggalah dia berkorban”

Perintah (sunat) ini berkemungkinan ada persamaan dengan hukum bagi mereka yang membawa haiwan ternakan (ketika mengerjakan haji) dari kampung mereka yang telah dijelaskan oleh Allah Ta’ala, maksudnya :

“(Dan janganlah kamu mencukur rambut kamu sehinggalah haiwan ternakan (yang dibawa untuk dihadiahkan dagingnya kepada penduduk Makkah) itu sampai ke tempatnya)”.

Larangan (memotong rambut dan kuku) ini pada zahirnya adalah khusus kepada pemunya haiwan korban tersebut sahaja dan tidak termasuk isteri dan anak-anaknya melainkan mereka juga mempunyai haiwan seumpamanya, dan tidak mengapa jika yang berkenaan membasuh dan menggosok kepalanya kemudian terjatuh beberapa helai rambutnya.

9. Setiap muslim hendaklah berusaha untuk menunaikan solat hari raya secara berjamaah, menunggu mendengar khutbah yang dibaca oleh imam selepas selepas solat tersebut supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnyalah dia mengetahui hikmat di sebalik perayaan ini; ia merupakan hari menyatakan kesyukuran dengan melakukan kebaikan, janganlah pula dilakukan padanya perkara yang mendatangkan kemurkaan Allah dengan mengerjakan ma’siat, kesombongan, pertengkaran, bermasam muka dan sebagainya yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan-amalan kebaikan yang telah dikerjakannya sebelum itu.

10. Penuhilah hari-hari berkenaan dengan ketaatan kepada Allah, berzikir, bersyukur, menunaikan perintahNya, menjauhi laranganNya, mendekatkan diri kepadaNya semoga mendapat rahmat dan keampunanNya.

Saturday, November 21, 2009

Ciri-Ciri Pentadbiran Organisasi Islam Berteraskan Prinsip Ubudiah, Masuliyyah & Itqan



Tiga prinsip yang perlu diamalkan di dalam Pentadbiran dan Organisasi Islam:

I. Prinsip Ubudiah (Pengabdian Diri Terhadap Allah)

II. Prinsip Masuliyyah (Kepertanggungjawaban)

III. Prinsip Itqan (Kecemerlangan)

Prinsip Ubudiah

Prinsip Ubudiah atau konsep bekerja kerana Allah ialah untuk meletakkan setiap kerja yang dilakukan sebagai ibadah yang akan juga memperolehi ganjaran pahala di akhirat.

Dengan menghayati prinsip ini diharap seseorang anggota (ahli) organisasi akan menjadi ikhlas dalam kerja mereka dan keikhlasan hati adalah penggerak utama ke arah kesungguhan bekerja dan peningkatan prestasi.

Bagi menjadikan kerja yang dilakukan sebagai ibadah, ianya perlu memenuhi beberapa syarat iaitu:

1) Pekerjaan tidak melanggar atau bercanggah dengan hukum syarak.

2) Pekerjaan mestilah disertakan dengan niat yang baik dan ikhlas kerana Allah S.W.T semata-mata.

3) Amalan atau kerja hendaklah dikerjakan seelok-elok atau sebaik mungkin (tekun dan cekap)

4) Ketika membuat kerja hendaklah selaras dengan prinsip-prinsip syariah seperti: amanah, adil dan bertanggungjawab.

5) Bekerja jangan sampai mengganggu atau melalaikan ibadah pokok seperti solat, puasa dan sebagainya.

Bagi meningkatkan Ubudiyyah seseorang anggota organisasi perlulah membentuk diri dengan akhlak mulia dan peningkatan ibadah melalui:

i. Beriman dan bertaqwa

ii. Menghiasi diri dengan sifat-sifat Mahmudah (Terpuji)

seperti: taubat, Takut Akan Allah Taala, Zahid, Sabar, Mensyukuri Nikmat, Ikhlas, Tawakal, Kasih Kepada Allah Taala, Redha Akan Qadha Allah Taala dan Ingatkan Mati. Dan menjauhkan diri daripada sifat-sifat Mazmudah (Tercela)

seperti Takabbur, hasad Dengki, Marah, Bakhil dan Kasihkan Harta, Cintakan kemegahan, Cintakan Dunia, Mengkagumi Diri, Ria’, Luba/ Lahap Makanan Dan Banyak Bercakap.

iii. Sentiasa meningkatkan amal ibadah yang dituntut antaranya: Membaca dan memahami Al-Quran,

Mengerjakan Solat-solat Sunah Sperti Tahajjud, Witir dan sebagainya.

iv. Bersifat pemurah dan tolong-menolong di dalam kerja-kerja kebajikan.

v. Benci dan menjauhkan diri dari terlibat di dalam kerja-kerja kemungkaran dan maksiat.

Prinsip Masuliyyah

Prinsip Masuliyyah atau “Accountability” ialah menuntut seseorang pegawai dan kakitangan dan ahli organisasi supaya sentiasa berwaspada dan bertanggungjawab ke atas apa yang mereka lakukan atau belanjakan kerana mereka adalah “Accountable” iaitu akan diperiksa dan disoal bukan sekadar di dunia malah di hari pembalasan.

Prinsip Itqan

Prinsip Itqan iaitu bekerja ke arah mencapai perkhidmatan dan pengurusan cemerlang. Prinsip ini amat dituntut oleh Islam. Jujungan Besar Nabi Muhammad S.A.W ada bersabda.

Ertinya: “Allah sangat menyukai mana-mana hambaNya bila melaksanakan sesuatu kerja, melakukan dengan penuh kecemerlangan.”

Kesedaran terhadap kualiti dan produktiviti di dalam perkhidmatan perlu ada pada setiap anggota organisasi. Setiap anggota dikehendaki mengutamakan kualiti dan produktiviti di dalam memberi perkhidmatan. Bagi menghasilkan perhidmatan yang berkualiti mestilah memenuhi beberapa ciri antaranya ialah ketetapan masa, perkhidmatan yang cepat, kebolehpercayaan, sifat tanggungjawab dan ketetapan fakta.

Kod Etika Perkhidmatan yang menekankan :

1. Profesionalisme

2. Bertindak sebagai satu pasukan

3. Kecemerlangan dan Keunggulan

4. Berhemah dan Berwibawa

5. Pembelajaran Berterusan

Ciri-ciri Profesionalisme :

1. Mempunyai komitmen yang tinggi dan sentiasa bersedia untuk menjalankan tugas.

2. Bertanggungjawab dan gigih dalam setiap pekerjaan yang dilakukan dalam tempoh masa yang ditetapkan, di samping menjamin kualiti.

3. Mempunyai kemahiran, kebijaksanaan serta berkemampuan dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

4. Integriti dari segi objektif, tidak bias dan tidak mementingkan diri.

5. mempunyai ciri-ciri kreatif, inovatif, berkarisma, bermotivasi, berdaya saing dan akauntibiliti.

Ciri-ciri Bertindak Sebagai Satu Pasukan ialah :

1. Bertindak ke arah satu wawasan (vision).

2. Sentiasa melibatkan diri dan memberi sumbangan dalam aktiviti organisasi.

3. Berkongsi pengalaman, maklumat , ilmu dan pengetahuan.

4. Sentiasa menjaga imej organisasi.

5. Sentiasa bertolak ansur, bertoleransi, bekerjasama dan saling hormat-menghormati.

Ciri-ciri Kecemerlangan dan Keunggulan ialah :

1. Berusaha untuk melakukan yang terbaik.

2. Sentiasa berusaha untuk memperbaiki prestasi kerja.

3. Sentiasa peka dan prihatin kepada kehendak pelanggan.

4. Keupayaan memperlajari pelbagai kemahiran (multiple skills) bagi menjalankan pelbagai tugas (multiple tasks).

Ciri-ciri Berhemah dan Berwibawa :

1. Jujur, amanah dan berakhlak dalam menjalankan tugas tanpa menyalahgunakan kuasa dan kedudukan.

2. Bertimbangrasa, mesra, adil dan saksama.

3. Tegas, tepat dan konsisten dalam membuat keputusan.

4. Sentiasa tenang dan sabar dan dapat menyesuaikan diri dalam semua situasi.

5. Bersedia mendengar teguran dan kritikan.

6. Menampilkan diri dengan berpakaian kemas dan berbudi bahasa.

Ciri-ciri Pembelajaran Berterusan ialah :

1. Bersedia belajar dari pengalaman diri sendiri dan orang lain ke arah penambahbaikan.

2. Sentiasa mencari ruang untuk memaju dan meningkatkan kemahiran diri.

3. Sentiasa mengglakkan semua anggota supaya berusaha memajukan diri.

4. Sentiasa berusaha memupuk bakat individu.

5. Tidak segan untuk berjaya


Wednesday, May 13, 2009

DOA PELEMBUT HATI

Doa pelembut hati ini boleh digunakan untuk semua orang yang keras hati (melawan dan tidak menurut kata) termasuk diri sendiri, anak-anak atau sesiapa sahaja.

CARA-CARA :

• Untuk diri sendiri ; letak tangan kanan di atas dada iaitu di atas bahagian hati dan baca doa di bawah.

• Kemudian tarik nafas perlahan-lahan hingga habis nafas dan lepaskanlah nafas.

*Untuk orang lain ; ketika membaca doa letakkan tangan kanan di dada iaitu di bahagian hati orang yang nak didoakan tersebut.

*Atau dibacakan pada air untuk diberi minum kepada orang yang nak dilembutkan hati tersebut.

*Tambahan ;
Untuk lembutkan hati anak-anak, boleh air ini dibuat untuk memasak nasi atau dimasukkan dalam bahan masakan ibu ;

1. Baca surah Al-Fatihah ( Bismillah …)

2. Baca ayat 21 hingga 24 Surah Al-Hashr :-
( لَوْ أَنْزَلْنَا هَذَا الْقُرْآنَ .......... وَهُوَ الْعَزِيْزُ الْحَكِيْم )
3. Baca ayat 1 hingga 5 Surah Tohaa :-

( طَه , مَا أَنْزَلْنَا عَلَيْكَ الْقُرْآن ......عَلَى الْعَرشِ اسْتَوَى )
4. Doa pelembut hati :
" اَللّهُمَّ لَيِّنْ لِيْ قََََلْبَهُ كَمَا لَيَّنْتَ لِدَاوُدَ الْحَدِيْدَ "
Maksudnya;
" Ya Allah lembutkanlah bagiku hatinya sebagaimana kamu telah melembutkan besi bagi Nabi Daud Alaihissalam "

Yang penting ikhlaskan hati kita dan perbanyakkan doa dalam solat terutama semasa waktu sujud.

Wednesday, April 29, 2009

SAMBUNGAN : Mengenali Ilmu Kaunseling

Secara umumnya, bolehlah disimpulkan bahawa kaunseling menolong seorang klien:
• Memahami diri dan situasinya;
• Mengenal pasti keperluannya;
• Menerima realiti hidupnya;
• Membuat rancangan yang realistik untuk mengendalikan hidupnya;
• Bertanggungjawab ke atas diri dan perbuatannya;
• Dan seterusnya menjadi individu yang berfungsi dengan sepenuhnya.
Tujuan terakhir supaya klien bertanggungjawab ke atas diri dan perbuatannya sehingga menjadi individu yang berfungsi sepenuhnya tidak mungkin dapat dicapai dalam masa yang singkat. Ia merupakan tujuan hidup setiap insan yang inginkan kesejahteraan hidup di dunia. Walaubagaimana pun tidaklah dapat dinafikan bahawa setiap klien dan kaunselor mempunyai tujuan-tujuan jangka pendek yang lebih khusus yang ingin dicapai dalam masa yang singkat.
Setiap manusia mesti dilihat menurut konteks sesuatu situasi di antara diri dan situasi yang menimbulkan masalah-masalah berkenaan, difahami bagaimana, mengapa dan kenapa, supaya dapat diterima hakikat yang sebenar dan dapat dibina tujuan-tujuan hidup yang lebih realistik dan lebih bermakna. Jika dilihat dari aspek ini, tujuan juga merupakan suatu proses yang dinamik, di dalam perjalanan hidup di dunia ini yang penuh dengan cabaran dan ketidakpastian. Masalah individu yang berhubung dengan kerunsingan, psikologi, peribadi dan ketidaksejahteraan, kebanyakannya berpunca dari dalam diri individu itu sendiri kerana tidak memahami diri dan situasi serta tidak mempunyai jangkaan atau harapan yang realistik terhadap hidup. Persoalan-persoalan asas seperti siapakah aku, dari manakah asalku, apakah tujuan hidupku, siapakah yang menjadikan aku, untuk apakah aku dihidupkan dan seumpamanya sepatutnya diberi perhatian yang wajar.
Diharapkan klien dapat belajar mengendalikan hidupnya sendiri daripada pengalaman dalam proses dan perhubungan kaunseling. Dalam proses kaunseling, klien belajar tetapi kaunselor tidak mengajar. Fungsi kaunselor adalah sebagai ‘pemandu’ yang pada mulanya diperlukan untuk menunjuk jalan dan menemani klien dalam perjalanannya, memahami diri dan situasinya serta mengenal pasti keperluannya. Setelah tujuan ini tercapai, barulah fungsi dan peranan kaunselor tercapai dengan sempurnanya. Semakin berkurangan sehingga sampai klien tidak lagi memerlukannya kerana dia sudah dapat meneruskan perjalanannya sendiri tanpa bantuan daripada kaunselor lagi.
PRINSIP KAUNSELING
Dalam bidang kaunseling, prinsip-prinsip harus diamalkan untuk mencapai tujuan kaunseling. Prinsip dan ciri kaunseling adalah seperti berikut:
1. Kaunseling berkaitan dengan mempengaruhi perubahan tingkah laku secara sukarela dengan kehendak hati klien sendiri. Klien ingin mengubah dan berusaha mendapatkan pertolongan kaunselor untuk mengubah tingkah lakunya.
2. Kaunselor menyediakan keadaan yang memudahkan perubahan klien. Ini termasuklah hak individu membuat pilihan, menjadi bebas dan berautonomi.
3. Seperti dalam semua perhubungan, terdapat batasan pada klien dalam kaunseling. Batasan ini ditetapkan oleh tujuan kaunseling yang dipengaruhi oleh nilai dan falsafah kaunselor.
4. Keadaan yang memudahkan perubahan tingkah laku akan disediakan melalui temu bual. Bukan semua jenis temu bual merupakan kaunseling, tetapi kaunseling selalunya melibatkan temu bual.
5. Aktiviti mendengar berlaku di dalam kaunseling, tetapi bukan semua aktiviti mendengar merupakan kaunseling.
6. Kaunselor memahami kliennya.
7. Kaunseling dijalankan dalam keadaan yang sulit dan bersendirian di antara kaunselor dan klien. Apa yang dibincangkan di antara kaunselor dan klien mesti dirahsiakan.
8. Klien mempunyai masalah psikologi dan kaunselor mahir bekerja dengan klien yang mempunyai masalah psikologi.

Kaunseling harus berasaskan prinsip-prinsip berikut:
1. Pada asasnya, manusia membuat penentuan kendiri.
2. Klien harus maju ke tahap penerimaan kendiri dan pemahaman kendiri yang lebih tinggi.
3. Klien harus mengembangkan tahap kebenaran yang lebih tinggi lagi, khasnya kebenaran tentang dirinya sendiri.
4. Objektif-objektif kaunseling harus berdasarkan keperluan klien dan bukan keperluan kaunselor.
Secara amnya, prinsip-prinsip kaunseling dapat diuruskan seperti berikut:
1. Kaunseling diberi kepada individu-individu normal yang sedang menghadapi masalah atau kerunsingan.
2. Kaunseling merupakan interaksi dan perhubungan di antara kaunselor dan klien berdasarkan kemesraan dan kepercayaan. Kepercayaan adalah faktor penting kerahsiaan dalam kaunseling.
3. Dalam sesi kaunseling, kaunselor menolong klien membuat keputusan dengan mempercepatkan proses membuat keputusan itu. Kaunselor tidak membuat pilihan atau keputusan untuk klien. Hal ini akan menimbulkan perkembangan kebolehan klien untuk membuat pilihan atau keputusan tanpa bergantung pada kaunselor. Kaunselor menolong klien supaya klien dapat melihat segala faktor dalam sesuatu situasi, mengetahui kekuatan dan kelemahan sendiri, serta menjelaskan fikiran yang kabur dan tidak rasional.
4. Orientasi kaunseling haruslah ke arah bekerjasama dan bukannya paksaan. Kaunseling dilakukan dengan cara persetujuan bersama di antara individu yang terlibat. Orang yang dipaksa untuk menerima khidmat kaunseling akan memberontak dan kurang percaya pada orang lain.
5. Kaunselor haruslah sentiasa percaya bahawa setiap individu mempunyai kemampuan bagi kesejahteraan diri sendiri.
6. Kaunseling hendaklah berdasarkan perlakuan, menyedari kehormatan dan harga diri seseorang.
7. Kaunselor percaya bahawa seseorang individu itu haruslah mempunyai peluang yang maksimum untuk memilih matlamat hidupnya masing-masing dan cara untuk mencapai matlamat itu.
8. Kaunseling mestilah berdasarkan etika kaunseling yang baik.
KETRAMPILAN PEMIMPIN BERWIBAWA
Membentuk Kejayaan Diri
• Menganalisa mengenali diri sendiri
• Menyediakan matlamat hidup
• Mempunyai wawasan sendiri
• Mengenalpasti nilai dan prinsip dalam hidup
• Sasaran – Perancangan dan matlamat untuk menjayakan sasaran bagi membolehkan berjaya dalam kerjaya
Mengenal diri sendiri
• Anggapan kita mengenal diri sendiri
• Diri kita dari kaca mata orang lain
• Diri kita sebenar


Tiga jenis manusia
• Mereka yang menjadikan sesuatu berlaku
• Mereka yang melihat sahaja apa yang berlaku
• Mereka yang bertanya apa yang berlaku
Penilaian diri
• Memahami diri sendiri – kekuatan/kelemahan
• Motivasi – kemahuan, semangat membara, keyakinan
• Disiplin diri – menggunakan kekuatan diri dalam mengawal diri
• Keimanan – Pedoman dan Pegangan hidup
• Keyakinan – mempercayai kebolehan sendiri
• Daya tarikan – personaliti dan imej diri
• Perasaan – kebolehan mengawal perasaan
• Sikap – Positif atau Negatif
• Tenaga- tenaga yang berterusan
• Semangat, kecergasan, kesungguhan
• Berfikir kreatif – idea/strategi baru
• Sasaran – sasaran dan standart diri sendiri
• Matlamat – Matlamat dan perancangan sebagai kompas ke arah kejayaan
• Pengurusan masa – Keupayaan membezakan antara keutamaan , segera, kepentingan, tidak penting segera.

Jenis-jenis matlamat
• Matlamat jangka panjang
Matlamat yang memerlukan beberapa bulan atau tahun untuk dicapai
• Matlamat jangka pendek
Matlamat jangka pendek yang membawa kepada implementasi matlamat jangka panjang

Sunday, April 12, 2009

MEMAHAMI ILMU & KEPENTINGAN KAUNSELING DALAM KEHIDUPAN HARI INI

PERGERTIAN KAUNSELING
Kaunseling berasal daripada perkataan bahasa Inggeris "counselling" yang boleh difahami oleh semua orang, tetapi mereka mungkin memahaminya dalam pengertian yang berbeza. Dalam pengertian yang luas, sebenarnya setiap orang terlibat dalam aktiviti kaunseling baik secara langsung atau tidak langsung, terutamanya ibu bapa, guru, pemimpin agama, peguam, doktor, jururawat dan juga semua yang terlibat dengan proses mendidik dan kebajikan masyarakat.
Kaunseling bukanlah perkara baru malah manusia selalu melakukan aktiviti ‘rundingcara’ sesama mereka. Kaunseling merupakan kebolehan seseorang menolong orang lain untuk mengatasi masalah dan mencapai kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat. Apa yang ketara kaunseling merupakan alat asas bagi kebanyakan profesional. Secara amnya dapat dikatakan bahawa konsep kaunseling diamalkan di dalam bidang pendidikan, perubatan, agama, kemasyarakatan, pemulihan, perkahwinan dan keluarga.
Kaunseling sebagai satu profesion mempunyai asas yang saintifik dan objektif daripada bidang psikologi, sosiologi, psikiatri, antropologi dan falsafah. Ia tumbuh dan berkembang hasil daripada dapatan penyelidikan tentang perkembangan sahsiah manusia serta teori-teori pembelajaran. Di samping itu, ia juga berkembang daripada situasi, faktor atau keadaan yang kurang saintifik dan kurang objektif. Ini berdasarkan kepada kepercayaan:
• Bahawa setiap individu dapat menentukan matlamat hidupnya dan memberi makna kepada kehidupan masing-masing.
• Mengakui hakikat bahawa hidup ini penuh dengan cabaran dan manusia bertanggungjawab terhadap arah kehidupan masing-masing. Kaunseling merupakan proses bersemuka di antara kaunselor dan klien, iaitu orang yang meminta pertolongan sama ada datang sendiri ataupun dirujuk. Tujuan pertemuan itu adalah untuk mencari alternatif yang paling sesuai bagi klien membuat keputusan menyelesaikan masalah dirinya, di samping mengetahui baik buruk dan kekangan yang akan dihadapi oleh klien atas keputusannya itu.
Kaunseling adalah proses interaksi yang membolehkan individu memahami diri dan situasinya. Proses ini akan mengakibatkan pembentukan atau penjelasan matlamat dan nilai hidup individu itu hingga dia dapat menentukan tindakan yang wajar untuk masa depannya. Kaunseling juga ialah proses pertemuan interaksi bersemuka antara seorang kaunselor dengan klien yang mengakibatkan berlaku perubahan pada klien.
Kaunseling bukanlah bertujuan untuk menolong klien menyesuaikan diri dengan masyarakat, tetapi ia menolong klien memahami dirinya yang sebenar – apa kelebihan dan kekurangannya; apa yang boleh dilakukan dengan mudah; apa yang boleh dilakukan tetapi menghadapi masalah dan apa yang tidak boleh dilakukannya langsung.
Kaunseling dirujuk sebagai proses apabila seorang klien diberi peluang untuk meneroka aspek diri dan kehidupan yang menimbulkan kesusahan atau masalah baginya. Penerokaan ini akan menimbulkan kesedaran tentang diri dan situasinya serta pilihan-pilihan yang ada padanya. Proses ini diharap akan dapat menolong klien itu mengesan halangan-halangan dan mengenal pasti bakat atau kebolehannya untuk hidup dengan lebih sempurna.
Kesimpulannya, kaunseling merupakan proses pertolongan. Melalui proses ini, klien dibimbing membuat keputusan sendiri. Asas bagi proses ini ialah perhubungan antara kaunselor dengan klien atas dasar bahawa kesan perhubungan itu akan menyebabkan klien berubah.


TUJUAN KAUNSELING
Para profesional di bidang kaunseling dan psikoterapi mempunyai pendapat yang berbeza tentang kaunseling dan psikoterapi. Kaunseling mempunyai dua jenis tujuan, iaitu tujuan proses dan tujuan terakhir. Tujuan atau matlamat proses merupakan yang ingin dicapai dalam masa yang singkat. Tujuan proses terus melibatkan klien di dalam proses kaunseling sehingga kaunselor dan klien bersetuju bahawa klien tidak lagi memerlukan perkhidmatan lanjut. Untuk mencapai tujuan proses ini, pertemuan awal sangatlah penting kerana sekiranya klien tidak merasa selamat atau tidak percaya dengan kaunselornya, maka dia tidak akan mahu meneruskan proses dan perhubungan kaunseling tersebut.
Tujuan terakhir mementingkan hasil atau kesan perkhidmatan kaunseling dalam jangka masa yang panjang. Tujuan terakhir adalah perubahan atau perkembangan yang akan dialami oleh klien hasil daripada perkhidmatan kaunseling. Di antara konsep yang diutamakan ialah kesedaran kendiri, penyuburan kendiri, individu yang berfungsi sepenuhnya dan kesejahteraan kendiri. Tujuan terakhir merupakan persoalan yang dihadapi oleh manusia dan tidak terhad kepada individu yang mempunyai masalah sahaja, bahkan merupakan tujuan setiap manusia yang ingin hidup dengan lebih bermakna, berfungsi dengan sepenuhnya bergerak dan dinamik.
Lima tujuan kaunseling iaitu:
1. Menolong mengubah tingkah laku klien.
2. Menambahkan kemahiran klien mengendalikan kehidupannya sendiri, terutama mereka yang terlalu bergantung kepada orang lain atau terlalu bimbang dan ragu-ragu tentang dirinya.
3. Menambahkan kemahiran klien membuat keputusan pada saat-saat penting. Klien diharapkan dapat menilai sesuatu situasi, membuat pemilihan dengan bijaksana, tahu bagaimana dan mengapa keputusan tertentu mesti dibuat, apakah kemungkinan akibat atau kesannya dan sedia menghadapi sebarang risiko akibat keputusan tersebut.
4. Membaiki perhubungan klien dengan ahli-ahli masyarakatnya. Ramai orang menghadapi masalah dalam perhubungan dengan individu-individu lain. Masalah ini mempunyai hubungan yang rapat dengan konsep kendiri, sama ada konsep kendiri yang rendah atau sebaliknya. Diharapkan proses kaunseling dapat menolong klien meningkatkan kualiti perhubungannya dengan orang lain, misalnya perhubungan dalam keluarga, perkahwinan, rakan sebaya dan seterusnya dalam masyarakat. Perhubungan yang berkesan meningkatkan mutu kesejahteraan kehidupan individu.
5. Membantu perkembangan bakat klien. Kaunselor membantu klien mengenal pasti kebolehan dan bakatnya supaya dia dapat mengambil tindakan yang sewajarnya.
Kaunseling mementingkan perubahan yang tertentu tetapi keseluruhan perubahan pada diri seseorang individu itu hingga menyebabkan dia merasa sejahtera. Objektif kaunseling yang utama ialah untuk memberi inspirasi kepada klien bagi menilai, membuat, menerima dan mengambil tindakan terhadap pilihan atau keputusan yang dibuatnya. Bagi mereka, kaunseling menolong klien mempelajari proses membuat keputusan, sehingga akhirnya dia dapat membuat keputusan tanpa sentiasa mengharapkan bantuan orang lain. Pelbagai tujuan telah diutarakan oleh mereka yang banyak pengalaman, pengetahuan dan kemahiran dalam bidang ini. Satu hakikat yang nyata ialah tujuan itu tidak sama pada semua orang. Di dalam perkembangan proses kaunseling, tujuan bagi seseorang klien itu mungkin diubahsuai dari semasa ke semasa. Usaha membina tujuan mestilah dianggap sebagai suatu tindakan yang tidak kaku, statik atau tetap; dan perlu dibuat penilaian bersama oleh klien dan kaunselor mengikut keperluan klien.

Wednesday, April 8, 2009

BAGAIMANA MENGHARGAI ORANG LAIN…

Dalam kehidupan ini banyak perkara yang kita boleh lakukan untuk memberikan penghargaan dan juga sebagai tanda kasih sayang yang tidak terhingga kepada sesiapa sahaja. Selalunya kita terlalu memikirkan cara untuk meluahkan penghargaan dan menyentuh hati sehinggakan kadang-kadang kita hanya berdiam diri kerana hanya memikirkan cara untuk memberikan penghargaan kepada mereka yang kita sayangi.
Penghargaan Kepada Anak
• Selalu memberikan pujian yang ikhlas kepada anak
• Rangsang anak-anak untuk buat yang terbaik
• Berikan hadiah atas kejayaan anak-anak walaupun kejayaan yang kecil
• Selalu berikan pelukan dan ciuman
• Sekali sekala puji anak-anak di hadapan orang lain
• Hadirkan diri dalam acara atau pertandingan atau peraduan yang disertai oleh anak anda
Penghargaan Kepada Ibu Bapa
• Selalu telefon bila berjauhan
• Jangan lupa kirimkan wang walaupun sedikit (andai sudah bekerja )
• Berikan hadiah pada hari-hari penting (Hari Ibu, Hari Bapa & Hari Lahir)
• Cium tangan ibu bapa
• Bila anda sudah berkeluarga, selalu pulang ke kampung kerana selalunya ibu bapa kita rindu untuk bertemu dengan cucu-cucu mereka.
• Minta pandangan mereka dalam menyelesaikan masalah
• Pulang apabila mereka sakit
Penghargaan Kepada Suami
• Selalu berikan senyuman
• Berhias di hadapan suami
• Masak masakan kegemaran suami
• Minta pandangan suami jika ada masalah
• Selalu urut-urutkan suami
• Menjaga maruah suami
• Puji suami di hadapan keluarga atau orang lain
• Berikan hadiah hari jadi
• Pandai mengambil hati suami
• Selalu memberikan sokongan bila suami ada masalah
• Membina hubungan baik dengan keluarga suami
• Minta izin suami sebelum buat sesuatu
• Mohon maaf dengan suami sebelum tidur
Penghargaan Kepada Isteri
• Ingati tarikh-tarikh penting bersama isteri (Hari Ulang Tahun Perkahwinan, Hari Lahir)
• Ingati tarikh kelahiran anak-anak
• Bantu isteri melakukan kerja-kerja rumah (memasak, membasuh & jaga anak)
• Ungkapkan kata-kata cinta sebelum tidur
• Selalu berikan pelukan dan kucupan kepada isteri
• Membina hubungan baik dengan keluarga isteri
• Ucapkan terima kasih apabila bersama
• Selalu memberikan kejutan-kejutan yang menggembirakan
• Selalu berpenampilan segak (sebab suami kacak, orang akan puji isteri)
• Memberikan kemaafan dan memohon maaf andai tersilap
• Panggil isteri dengan panggilan yang manja
• Puji isteri depan anak-anak dan keluarga
• Berikan hadiah apabila isteri anda melahirkan ana